Perkara yang amat penting di sini adalah sediakah kita bermuhasabah diri kita, merenung kesilapan, kesalahan serta kekurangan diri kita. Bersediakah kita menghijrahkan diri kita untuk menuju ke arah destinasi yang lebih baik dan menuju Maghfirah kasih sayang daripada ALLAH. Setiap hari setiap masa dan ketika tanamkanlah azam di dalam diri kita. Kita ini hanyalah insan biasa yang banyak kekurangan dan kelemahan. Sedar atau tidak pasti ada kesalahan yang dilakukan kepada kita. Tanamkanlah niat atau dalam erti kata lain berazamlah untuk menjadi lebih baik dari tahun lepas bahkan ISLAM menyeru kita menjadi lebih baik daripada semalam.
Sabda Rasulullah "Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini samadengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t."Di sini dapat kita nyatakan bahawasanya setiap hari kita perlulah berubah. Pentingnya amalan muhasabah untuk kita merenung kembali setiap perbuatan yang kita lakukan. Buangkan keegoan di dalam diri dan teruslah beramal untuk mencapai redha ALLAH serta kejayaan dunia dan akhirat. Muhasabah bertujuan untuk memperingati diri sendiri agar tidak berterusan jika melakukan kesalahan.
Pernahkah kita mendengar kisah sahabat Rasulullah sentiasa merenung kehidupannya pada satu-satu hari sebelum tidur. Kisah yang amat kagum jika diperhatikan. Jika ada kesalahan dilakukan dipukul dirinya sendiri untuk bertujuan menginsafi diri. Juga, salah seorang khalifah sentiasa mencatatkan kisah kehidupannya di dalam lembaran atau yang kita gelar 'diari'. Khilafah yang dinyatakan adalah Saidina Umar Al-Khattab. Tujuannya hanyalah untuk merenung diri serta bermuhasabah dan memang benar melalui tulisan tersendiri, kita dapat melihat siapa diri kita.
Pelbagai peristiwa berlaku ke atas diri kita setiap hari. Sedar ataupun tidak mungkin perjalanan kehidupan kita ada melakukan dosa iaitu kesilapan ke atas sesuatu perkara. Jika telah muhasabah dan mendapati adanya kesilapan memohon maaflah kerana inilah yang sepatutnya. Sentiasa berazamlah untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan.
Azam yang dibina perlulah bukan sahaja dikhususkan kepada diri sendiri. Sematkanlah serta berazam dan juga berusaha untuk kepentingan agama, keluarga, masyarakat dan lain-lain lagi. Inilah azam yang merangkumi segala-gala yang mempunyai hak. Sesungguhnya rezeki ke atas diri kita juga merupakan untuk semua yang lain. Dengan inilah jika kita mendapat rezeki yang melimpah ruah ISLAM mewajibkan kita mengeluarkan Zakat.
Serlahkanlah kemampuan kita untuk membuktikan azam yang dibina. Bagaimanakah caranya? Tiada cara lain ialah dengan berusaha dengan sekuat mungkin. Bersungguh-sungguhlah kepada sesuatu perkara yang baik. Dengan izin ALLAH pekerjaan yang kita lakukan pastilah memberikan manfaat yang terbaik. Jikapula mendapat dugaan dan cabaran dalam perjuangan usaha, janganlah cepat putus asa dan kecewa. Amatilah bahawa untuk mendapat 20% kejayaan pasti menghadapi 80% kegagalan. Usaha dan terus usaha. Jika kena dengan caranya pasti kita akan berjaya. Percayalah!
Persoalan: Bila perlu kita menanam azam? Jawapan: Tiada masa yang tertentu untuk menanam dan membina azam diri. Setiap saat dan masa ketika kita boleh menetapkan azam diri. Seperti yang dikatakan tadi tanamkanlah azam baru setiap hari. Sememangnya jadikanlah hari ini lebih baik daripada hari semalam. Inilah kejayaan yang sebenar.
Kita juga boleh mencipta azam 'long term' ataupun jangka masa panjang. Inilah wawasan yang perlu diterapkan dalam diri. Apa jua azam mulakanlah daripada sekarang. Tidak perlu menangguh-nangguh dan mensia-siakan masa yang ada. Jika perancangan azam perlu dicapai dua tahun akan datang tetaplah mulakan daripada sekarang. Tindakan serta perancangan yang dimulakan awal pasti lebih menghasilkan jawapan yang lebih tepat.
Setiap perkara yang kita lakukan mestilah disertakan dengan niat. Tetapi niat sahaja tidak mencukupi jika tiada perlaksanaan. "Ilmu tanpa amal adalah sia-sia seumpama pohon yang tiada berbuah". Ia bermaksud bahawa jika mempunyai sesuatu di dada ataupun ilmu, jika tiada diamalkan dengan bersungguh-sungguh ianya langsung tiada berguna.
Oleh itu, setiap dari kita tanamkanlah azam, rancanglah dan teruskanlah berusaha. Setiap hari setiap ketika perbaharuilah azam yang ingin dilakukan. Tidak perlulah menunggu ketibaan tahun baru untuk menanam azam baru dan juga memperbaiki apa yang telah dicita-citakan.
Berusahalah...dan jangan pernah menyerah kalah sekali-kali...
0 Response to "Tanamkan Azam Baru"
Post a Comment