Sememangnya teramat sukar untuk menerapkan rasa sabar kecuali bagi orang yang berfikir. Biasanya ramai yang akan menyalahkan takdir ketentuan Qada' Qadar Allah. Ini terjadi disebabkan oleh rasa hati tiada memikirkan hikmah kejadian dan ketentuan ketetapan atas apa sahaja yang berlaku.
Pintalah kekuatan daripada Yang Hak ditetapkan hati kita untuk sentiasa sabar dan tabah atas segala apa yang mungkin akan berlaku. Terutamanya kegagalan dalam apa jua perkara. Inilah yang diberikan atas ketetapan Yang Hak tertakluk atas perancangannya.
Sabar sememangnya memerlukan sokongan dan bantuan dari segenap diri mahupun sekeliling. Kita mungkin mampu berbicara dengan diri sendiri, namun jika diminta bantuan pasti akan membantu.
"Bukankah ketentuanNya lebih tepat berbanding dengan perancangan kita hambaNya. Namun teruslah merancang serta berusaha dengan kuat secara berterusan"
Sabar dan redha menjadi intipati kepada kekuatan diri, minda serta fizikal. Diri yang sentiasa berfikir dan menghayati segala ilmu yang ada di dada pasti memberikan impak positif kepada semua perkara. Ia pastinya memerlukan penghayatan berterusan dan melihat jauh ke hadapan melanghkui atas apa yang terjadi.
Jangan pernah mengatakan perkara yang telah terjadi tidak adil kepada kita. Ia seakan-akan menyalahkan ketetapan dariNya. Apa yang penting kita berdoa agar segala urusan kita dipermudahkan dan diberkati. Menangislah jika dirasakan perlu. Namun begitu titiskanlah air matamu berpada-pada dan sekadarnya. Kesedihan juga adalah lumrah bagi setiap insan.
Terapkanlah rasa redha dan tawakkal dalam diri. Serahkan segala ketentuan masa akan datang kepadaNya. Jangan berhenti berdoa, berusaha, istiqamah, tawakkal serta syukur kepadaNya. Jangan menyesal atas usaha yang telah dilakukan. Bukanlah sedikit ujian ini dihadirkan untuk menguji kita agar sentiasa mengingatiNya.
Berusahalah sedaya upaya atas apa yang kita hajati. Selagi umur dan nyawa kita masih ada jangan pernah berhenti berusaha. Kegagalan atau musibah yang berlaku perlu diambil iktibar dan diperbaiki untuk berjaya di masa hadapan.
Tetapkanlah hati kita untuk terus bersabar dalam membina langkah maju dalam merentas masa hadapan yang cemerlang. Apa yang berlaku telah berlaku dan ia sememangnya tidak mungkin akan berpatah kembali ke belakang.
Sering ramai yang tertanya-tanya cara untuk bersabar. Di sini disenaraikan sedikit langkah yang dirasakan mampu untuk membina rasa sabar.
- Mengetahui rahmat dan kasih sayang tercipta
- Yakin dan percaya janji Allah yang mana dalam satu kesulitan mempunyai dua kemudahan
- Memohon pertolongan dari segala hal
- Teruskan berusaha dengan kesungguhan
- Beriman kepada ketentuannya dengan ikhlas dan taat
Itu ketentuannya .. Maka Bersabarlah.
(* Dihasilkan tulisan ini ketika ramai saudara mara dalam keadaan kesedihan kerana seorang insan yang dikasihi, bapa saudara, Jais bin Deros (Adik kepada bonda) sedang terlantar di wad ICU Hospital Sultan Abdul Samad kerana kanser paru-paru. Dikatakan oleh doktor peluang sudah tiada. Wallahualam. InnalillahiWainnaIlaihiRaji'un)
blog anda sangat menarik.
kita sebagai manusia tidak akan terlepas dari dugaan Nya. berusaha, bertawakal dan redha adalah lebih baik.
Terima Kasih. Manusia hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan belas kasih dan sayang daripada Allah.
Segala-galanya berdasarkan rahmat Allah. Tidak perlu marah-marah kerana Allah tidak akan membebani seseorang berdasarkan kemampuannya.