"Jika belajar di kolej atau universiti mesti masa hadapan aku cerah."
Benarkah apabila kita melangkah sahaja menuntut di kolej atau universiti selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masa hadapan kita sememangnya terjamin? Mendapat pekerjaan yang baik, berjaya dalam hidup malah menjadi seorang bijak pandai?
Realitinya amat berlainan daripada apa yang digambarkan. Yang hanya jelas akhir pengajian setiap graduan akan memperolehi 'scroll' sebagai tanda pemegang sijil atau diploma atau ijazah mahupun lebih tinggi daripada itu.
Namun, tidak semestinya kita akan tamatkan pengajian sehingga akhirnya. Ada pula yang berhenti di pertengahan jalan. Sebabnya terlalu banyak perlu diperkatakan dan dijelaskan. Hanya empunya diri mampu menjelaskannya. Segalanya benar dengan kata rancangan kita tidak semestinya jadi nyata kerana rancangan-Nya lebih tepat.
Belajar Dari Dunia Sebenar
"Aku dah habis belajar mesti banyak kerja akan menanti aku di luar. Dapat first class gitu."
Tahniah! Anda telah berjaya. Kini anda bukan berada di dunia universiti iaitu dunia mengejar keputusan peperiksaan secara teori, anda di dunia amali praktikal.
Adakah keputusan first class menjadikan anda terbaik dalam dunia kerjaya? Jika begitu gaji anda pasti besar, pangkat tinggi, boleh arahkan orang lain. Namun, benarkah ianya berlaku?
Benar, sijil anda merupakan nilai tambah yang baik tetapi itu bukan segala-galanya. Dunia sebenar adalah dunia kejam. Ia memerlukan individu berkemahiran tinggi, mempraktikkan skil yang terbaik, meraikan bakat serta kreatif dan inovatif.
Kepentingan kemahiran, bakat, kreativiti dan inovasi merupakan keutamaan utama dunia hari ini. Seseorang yang memiliki semua ini akan lebih jelas dengan sesuatu bidang kerjanya. Percaya atau tidak apa yang kita belajar di universiti tidak sampai 10% ianya digunakan bahkan ada yang tidak ada langsung. Ia berkecuali pada sijil yang berkaitan kemahiran dan fokus kepada bidang profesional seperti kedoktoran.
Jangan Berhenti Belajar
Hidup mesti terus belajar. Sijil bukan merupakan jalan kecemerlangan utama dan lengkap segala-galanya. Bahkan anda first class atau tidak tidak menjadi anda akan cemerlang di dunia luar.
Berapa peratus kita gunakan apa yang kita belajar untuk hidup? Jika kerja pun penggunaannya terlalu sedikit apa lagi hidup. Setiap hari akan ada pelbagai maklumat baru yang perlu kita tahu.
Academic Inflation
Pernahkah kita dengar inflasi akademik?
"Inflasi sifar tahulah." Ya. Itu seruan kerajaan semasa tahun 1997 dahulu. Ia konon-kononnya mahu langsung tidak berlaku kenaikan harga berdasarkan indeks harga pengguna. Namun ia tidak berjaya kerana kita tidak boleh kawal inflasi sehingga 0%.
Dalam perihal akademik, inflasi akan berlaku dengan serius. Semakin hari semakin ramai graduan kolej dan universiti, tetapi tidak dalam industri kerja semakin hari semakin susut. Bahkan statistik penganguran semakin bertambah.
Semakin ramai penganggur berjaya dilahirkan.
Ada yang kata tidak perlu pilih, cerewet memilih kerja, sambar sahaja apa yang di depan mata. Inilah cara jika kerjaya yang berkaitan dengan sijil kita tiada lagi.
"Tidak mengapa tiada rezeki, asalkan kerja."
Jika ini kenyataannya perlukah bersusah payah menghabiskan masa 2-4 tahun menuntut di kolej dan universiti. Lebih elok sekiranya selepas SPM terus sahaja mendapatkan kerja yang sesuai.
Penyelesaian
Tidak salah jika ingin menuntut di kolej atau universiti. Selagi hidup dapatkan sebanyak mungkin ilmu.
Tetapi kita perlu sedar akan kebolehan, minat dan bakat kita ke arah mana. Dapatkan kolej atau universiti yang sesuai dan ada bidang yang kita mahir dan berbakat. Ia akan memberi nilai tambah kepada, kebolehan, kekuatan dan bakat kita kepada aras yang lebih tinggi.
Jadi tidak akan berlaku menuntut hanya untuk cemerlang dalam peperiksaan semata-mata. Berhempas pulas menghafal hanya untuk peperiksaan tidak akan menjadi titik tolak utama.
Caranya, pertama kenalpasti bakat dan bangunkannya. Nescaya potensinya akan lebih besar dan menyerlah. Ini yang paling utama. Di dalam blog ini ada dinyatakan cara untuk mengenalpasti bakat dan kebolehan diri. Boleh juga hubungi saya untuk membantu dengan lebih dekat.
Akhir, jalan kecemerlangan bukan sekadar sijil tetapi diri kita sendiri.