"Apa yang penting..kerjasama".- Wonderpets
Apabila memperkatakan perihal kerjasama, sudah pasti ia bukan sesuatu yang dilakukan seorang diri. Ia perlu dilakukan secara berpasukan mahupun berpasangan. Kerja yang ingin diselesaikan dilakukan bersama-sama dan bantu membantu dalam menghasilkan sesuatu.
Dalam mencipta kejayaan dan keberhasilan, kita memerlukan sokongan dan bantuan daripada setiap pihak. Memang benar ada perkara yang mampu kita lakukan sendiri malah ada juga yang memerlukan kerja berpasukan.
Perihal Pasukan Bola Sepak
Sebagai contoh, kejayaan dalam pasukan bola sepak. Ia memerlukan kerjasama dari semua pihak yang terlibat. Muafakat yang berterusan diperlukan untuk mencapai matlamat pasukan. Matlamat utama adalah dengan mencipta kemenangan dalam perlawanan. Perkara yang menjadi keutamaan adalah menjaringkan gol dengan mewujudkan serangan yang hebat. Malah itu juga tidak mencukupi. Pertahanan juga perlu berusaha untuk mempertahankan benteng supaya tidak dibolosi.
Penjaga gol, pertahanan, pemain tengah, penyerang perlu mempunyai semangat kerjasama yang kuat. Malah pemain simpanan juga perlu mencipta semangat muafakat sebenar berpasukan. Semua ini boleh terhasil dengan strategi yang berkesan daripada seorang pengurus yang berwibawa. Ia membentuk atmosfera kejayaan kepada setiap pemain. Strategi dan perancangan perlu dilakukan dengan baik mengikut kesesuaian perlawanan dan juga pemain.
Kukuhkan Kerjasama
Melalui kisah pasukan bola di atas, mari kita laksanakan pasukan bisnes yang berkesan. Kita wujudkan muafakat kerjasama antara setiap pihak yang terlibat dari bos sehinggalah kepada pekerja bawahan. Teruskan melakukan segala kerja dengan cara yang hebat dan luar biasa. Kukuhkan kerjasama dengan setiap ahli dalam organisasi pasukan. Hirarki positif dan berkesan sentiasa terarah untuk terus bantu membantu serta tolong menolong antara satu dengan yang lain.
Marilah kita bentukkan satu pasukan yang mempunyai matlamat yang jelas demi masa hadapan yang lebih unggul. Bina muafakat kerjasama bagi sinergi bersatu berterusan di mana ia akan memberikan impak yang positif dan cemerlang dalam setiap tindakan yang dilaksanakan. Bukankah muafakat membawa berkat. Sudah pasti produktiviti akan bertambah dan effisien dalam segala hal yang dilakukan.
Pasukan kelas dunia pasti akan terbina...Cipta kelas tersendiri yang membuktikan kejayaan sebenar.
Assalamualaikum Mie,
Kerjasama dalam pasukan memang sesuai diibaratkan sebagai satu team bola. Dengan posisi yang berbeza, bermakna setiap orang menggunakan keupayaan dan kelebihan masing-masing semaksimum mungkin untuk mencapai matlamat utama iaitu menjaringkan gol serta menghalang pasukan lawan dari menjaringkan gol.