Adakah ini benar-benar berlaku? Atau semata-mata ditamatkan kisahnya oleh pihak penjajah dan direka-reka untuk 'membunuh' orang Melayu dari sentiasa memasang serta mempunyai impian yang besar. Pernahkah kita terfikir berkenaan hal demikian? Jika dilihat, kisahnya merupakan satu kisah yang menarik dari gaya dan kisah Mat Jenin memasang impian.
Mari saya ceritakan kembali kisah impian Mat Jenin. Kisah ini saya olah kembali agar kita mudah difahami. Begini kisahnya..
Mat Jenin bermula dengan mengambil upah memetik kelapa dari seorang saudagar. Dari upah tersebut beliau ber'angan-angan' membela dua ekor anak ayam, seekor jantan dan seekor lagi betina. Selepas ayamnya membesar, yang jantan pasti akan tertarik kepada yang betina dan oleh kerana itu yang betina pasti akan bertelur. Sebahagian telur itu Mat Jenin akan jual dan sebahagian lagi dibiarkan untuk menetas. Setelah beberapa ketika, ayam-ayamnya pasti akan bertambah dari semasa ke semasa.
Kemudian ayam-ayamnya dijual dan Mat Jenin bercadang membeli kambing pula. Mat Jenin menggunakan proses yang sama seperti mula-mula beliau membela ayam. Pada satu ketika pasti kambing belaannya membiak dan terus membiak. Sebahagiannya dijual dan sebahagian dibiarkan terus membiak. Langkah seterusnya Mat Jenin beralih kepada lembu pula. Mat Jenin tetap menggunakan proses yang sama. Mat Jenin yakin dia pasti akan menjadi kaya dengan bisnes yang dia jalankan. Impiannya untuk berkahwin dengan puteri raja.
Baiklah. Dari kisah 'angan-angan' Mat Jenin di atas apakah pengajaran yang kita dapat ambil? Pada hemat saya Mat Jenin menggunakan konsep pepatah Melayu yang berbunyi 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. Secara implikasi konsep inilah yang perlu ada dalam fikiran kita untuk membentuk kejayaan. Adakah anda semua ingin berjaya? Saya yakin semuanya mahu berjaya. Langkah permulaan untuk berjaya adalah dengan memasang impian.
Mengapa tidak kita menjadi seperti Mat Jenin. Sentiasa memikirkan masa hadapan bermula dengan hari ini apa yang kita lakukan. Terbukti apa yang dikatakan angan-angannya itu jelas atau detail. Ini menjelaskan apa yang dia mahukan pada masa hadapan.
Ramai yang mengatakan 'angan-angan' sesuatu perkara yang sia-sia. Sehinggakan jika kita mahukan sesuatu kejayaan masa hadapan dan bila kita luahkan pasti ada sahaja kata-kata yang 'membunuh'. Bunyinya mungkin seperti ini, 'Tak perlukan kau berangan-angan' ataupun 'Kau ni berangan-angan saja, macam Mat Jenin'. Mereka menghapuskan impian yang kita telah bina dan ingin lakukan. Oleh itu, saya mengajak anda semua, ayuh, marilah berangan-angan.
Mengapa agaknya saya mengajak anda semua berangan-angan? Mungkin ada yang mengatakan, 'Buat apa nak berangan-angan ni, membazir saja'. Adakah anda yang sedang orangnya? Saya berharap serta yakin anda yang sedang membaca adalah seorang yang berfikir dan berjiwa besar. Anda pasti sedang berkobar-kobar mahukan kejayaan secara jelas.
Hakikatnya impian semalam merupakan hakikat hari ini andai dibajai dengan usaha dan perancangan yang sebenar-benarnya. Jangan biarkan ia sia-sia hanya sekadar impian yang tidak pernah untuk diusahakan. Setiap suatu perkara perlu di dahului dengan satu impian. Tidak salah untuk kita berimpian besar kerana andai tidak di capai impian itu, sekurang-kurangnya akan ada impian-impian kecil tercapai dalam perjalanan kita untuk mencapai impian yang besar.
Ayuh, mari kita telusuri suatu kisah yang bagi saya mampu mendorong kita semua untuk memasang impian yang besar. Kisah ini adalah kisah seorang sahabat Rasulullah iaitu Saidina Umar Al Khattab.
Suatu hari Umar al Khattab r.a. sedang duduk berbicara dengan sahabat-sahabat beliau. Maka Umar berkata kepada sahabatnya, “Impikanlah”. Maka salah seorang sahabat yang hadir berkata, “Saya berangan-angan untuk memiliki banyak wang dan akan saya belanjakan untuk memerdekakan hamba dalam rangka meraih lebih redha Allah.”Seorang yang lain menyahut, “Kalau saya, saya mengimpikan memiliki harta yang banyak lalu saya belanjakan fi sabilillah”. Yang lain menyahut, “Kalau saya mengangankan mempunyai tubuh yang kuat lalu saya abdikan diri untuk memberi air zam zam kepada jemaah haji satu persatu.”
Setelah mendengar semua itu, maka Umar berkata, “Aku mengimpikan akan ada pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Musab bin Umair yang mana akan menegakkan agama ini di muka bumi.”
Apakah pula pengajaran yang anda dapat dari kisah ini? Jawapannya pastilah BERIMPIANLAH. Tiada salah untuk berimpian besar untuk merentas masa hadapan. Umar sendiri memandang jauh ke hadapan melangkaui zamannya. Bahkan Umar menggemari orang yang mempunyai impian besar. Apa tunggu lagi? Mari membuat impian yang bakal mengubah diri kita demi memberi impak kejayaan.
Segalanya boleh menjadi kenyataan. Namun, ianya hanya menjadi realiti jika kita berusaha untuk mendapatkannya. Janganlah hanya duduk diam tanpa melakukan apa-apa. Bagaikan 'pungguk rindukan bulan' serta 'bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba'. Lakukan sebaik mungkin tanpa menyerah kepada kegagalan. Ini kerana 'Anda adalah apa yang anda fikirkan'.
Hayatilah..
Realisasikan angan-angan yang ada. Jangan abaikan ya.!Ada mampu jadikan kenyataan. Percayalah dan serlahkan!
*seterusnya kisah tiga adik beradik yang sangat berbakat dan mempunyai impian besar
0 Response to "Berangan-Anganlah Seperti Mat Jenin"
Post a Comment