Persoalan: Adakah ianya mencukupi jika hanya mempunyai keinginan dan rasa percaya untuk menjadi pemimpin? Jawapan: Sememangnya kita memerlukan latihan untuk menjadi pemimpin yang cemerlang. Mungkin ada sebilangan yang mempunyai fitrah seorang pemimpin, namun ia masih perlu digilap. Bakat kepimpinan dalam diri perlu dilatih dari semasa ke semasa.
Perkara terutama yang perlu ada adalah kepimpinan kepada diri sendiri. Ini adalah penting kerana untuk memimpin orang lain, diri sendiri perlu menunjukkan ciri seorang pemimpin yang baik. Dalam erti kata lain mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin cemerlang.
Kaliber inilah yang perlu ada bagi seorang pemimpin. Inilah juga yang dikatakan membina keterampilan diri yang berkesan. Maksudnya di sini adalah, seorang pemimpin perlu menonjolkan segala kebaikan dan juga melakukan amalan yang baik setiap masa. Ini kerana pemimpin adalah contoh teladan kepada setiap orang yang dipimpin.
Setiap apa yang ingin dilakukan mestilah terarah kepada perkara kebaikan dan kejayaan. Apa jua perlaksanaan dan tindakan yang bakal dilakukan mestilah menghala kepada nilai yang positif. Landasan kepimpinan mestilah bertepatan dengan gaya tersendiri. Namun, mempelajari gaya pemimpin yang lebih berkaliber dan berketerampilan adalah lebih efektif.
Inilah yang digelar idola ikutan pada gaya kepimpinan. Siapa jua yang dijadikan idola perlu juga diperhati. Bagaimana untuk diperhati? Gaya dan kualiti kepimpinan jugalah yang perlu dicontohi.
Pemimpin terunggul yang semestinya dicontohi segala cara perlaksanaan dan juga kehidupan adalah Rasulullah, Nabi Muhammad S.A.W. Baginda menunjukkan ciri yang terbaik dari segala aspek. Tiada cacat cela segala urusan kepimpinan. Kelembutan, ketabahan dan ketegasan baginda amat sempurna. Segala hal juga masalah diselesaikan dengan sempurna. Tindak tanduk baginda berteraskan Islam sejati.
Bagindalah contoh utama yang diperikuti oleh setiap sahabat. Baik Saidina Abu Bakar, Uthman Al-Affan, Umar, Ali semuanya memcontohi gaya kepimpinan Rasulullah. Pahlawan-pahlawan serta pejuang Islam seperti Khalid Al-Walid, Sallahuddin Al Ayubi dan lain-lain lagi juga menjadikan Rasulullah sebagai teladan.
Sememangnya Rasulullah lah contoh terbaik yang perlu dijadikan ikutan terutama. Baginda sentiasa memikirkan umat Islam. Sehingga ke saat sebelum baginda wafat masih difikirkan umat baginda. Di bibir baginda dilafazkan 'ummati'. Didoakan kesejahteraan umatnya agar sentiasa berjaya.
Jika mahu dijadikan pemimpin lain sebagai ikutan, biarlah gaya kepimpinannya berlandaskan Al-Quran As-Sunnah. Akhlak dan peribadinya mestilah bersesuaian dengan ajaran Islam. Dia mengutamakan apa yang dipimpin selain dirinya sendiri. Biarlah juga dia menegakkan yang hak dan menghalang yang batil. Sesuai dengan intipati Al-Quran As-Sunnah iaitu Amr Makruf Nahi Mungkar.
Memimpin untuk dipimpin, dipimpin untuk memimpin. Jika diambil kata-kata sebegini, semestinya tiada pertelingkahan berlaku. Konflik jika melanda hanya akan membuatkan sesuatu pihak terasa terasing. Sememangnya memimpin dan juga dipimpin mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain. Tiada permisahan boleh dilakukan.
Apabila seseorang pemimpin itu mempunyai keterampilan yang baik, sudah pasti dirinya akan sentiasa dihormati. Bahkan dirinya akan dijadikan contoh ikutan dan juga teladan untuk generasi-generasi mendatang. Juga orang di bawah tampuk pimpinannya akan sentiasa bermotivasi untuk menjadi lebih baik. Terlebih dahulu, pemimpin itu sendiri perlu memotivasikan diri dengan mempamerkan kepada tingkah laku, perbuatan dan tindakannya.
Keyakinan diri yang tinggi perlu direalisasikan oleh seorang pemimpin. Segala hujah disampaikan dengan hikmah. Tiada rasa untuk mudah jatuh dengan desakan dan kritikan orang lain yang ingin menjatuhkannya. Kebenaran tetap dipertahankan dan segala kesalahan diperbetulkan.
Seorang pemimpin bersedia untuk menerima teguran dan kritikan yang membina. Juga jika ada kesilapan dan kelasahan yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak sengaja, tiada merasa malu untuk mengaku kesilapan. Tiada ragu-ragu untuk mengucapkan kata kemaafan. Inilah salah satu sifat yang agak sukar dimiliki.
Apabila menyatakan perancangan dan melafazkan ucap janji ,ianya pasti akan ditunaikan. Segala tugas yang diamanahkan pasti dilakukan dengan cemerlang. Ianya bukan sekadar kata-kata dan janji kosong. Inilah pemimpin yang sebenar. Yang sentiasa memperkatakan perkara yang benar dan di dalam kemampuan diri.
Karisma seorang pemimpin menggambarkan bagaimana dirinya menjalankan tugas yang di amanahkan. Inilah kepimpinan dan keterampilan yang sebenar. Sentiasa di bawah kepimpinan yang insani dan cemerlang dalam menuju kejayaan bersama.
0 Response to "Kepimpinan dan Keterampilan Diri"
Post a Comment